Thursday, June 26, 2008

Ulasan Pengadil Senikata

Tidak keterlaluan saya katakan gambar pencetus berjaya mencungkil gagasan kreatif pendikir. Isi yang diketengahkan pelbagai. Ada yang menggali asal-usul agama yang masih dipraktikkan di beberapa daerah di dunia (animisme). Ada yang mengetengahkan isu membumi seperti persaingan di antara pendikir. Sayang sekali, terdapat segelintir pendikir yang masih menggunakan pentas dikir sebagai gelanggang menikam saudara pendikir yang lain. Jelas, kematangan masih belum lagi berpihak kepada empunya diri.

Di antara naskhah yang diterima, terdapat juga beberapa pendikir yang menimbulkan isu sejagat seperti kemelut yang melanda China. Naskhah ini diangkat sebagai di antara yang terbaik kerana kejayaan penulis menautkan isu negara asing dengan pemasalahan yang mungkin berlaku di SIngapura. Namun, terdapat juga yang mengagungkan wirawati negara asing. Walaupun kajian yang dijalankan agak terperinci, pemilihan wirawati negara asing seolah-olah mencerminkan negara kita sebagai ketandusan wira/wirawati tersendiri. Walhal, kita memiliki Dr Halimah Yaacob sebagai contoh.

Seperkara yang menjadi kegusaran adalah pelawaan daripada penulis naskhah yang mengajak manusia menerima pemesongan seadanya. Penulis, melalui penulisannya, seolah-olah mengajak pendengar mengingkari tegahan ajaran Islam dengan menerima kaum Luth seadanya. Benar, di dalam konteks dunia moden, penyimpangan di dalam memilih haluan hidup sudah menjadi resam. Apa yang menggusarkan adalah penggunaan kalimah Tuhan dan seruan tersebut di dalam naskhah yang sama. Membenarkan yang batil adalah sesuatu yang tidak seharusnya menjadi amalan.

Secara keseluruhannya, terdapat jurang yang amat lebar di antara karya penulis generasi baharu dengan mereka yang sebelumnya. Sayang sekali saya tidak dapat menyebut nama-nama kumpulan yang saya rasakan perlu lebih banyak menimba. Namun, saya bersedia berkongsi dengan sesiapa sahaja yang mahu melalui e-mel zaidy.nandir@gmail.com.

Syabas kepada pemenang-pemenang Penulis Senikata Terbaik. Syabas juga saya kalungkan kepada semua yang berani meneruskan perjuangan di dalam penulisan ini.
Semoga beroleh kejayaan yang diimpikan di dalam Mega Perdana 2008 nanti.


Salam Kopi Halia
Zaidy Nandir